Monday 17 November 2014

Anda mungkin mengalami masalah kesakitan pada bahagian tumit atau tapak kaki.  Di dalam istilah perubatan, gejala ini dipanggil sebagai Plantar fasciitis.  Kesakitan pada bahagian tumit juga mungkin disebabkan oleh pertumbuhan tulang yang tidak normal pada bawah tulang calcaneum. Secara klinikal ianya disebut sebagai Spurs pain. Mengikut kajian hanya 5 peratus sahaja mereka yang mempunyai spur menghidapi kesakitan pada tumit kaki. Jadi, walau apapun kata doktor anda, secara amnya masalah kesakitan tumit dan tapak kaki ini adalah gejala biasa yang sering terjadi, manakala jalan penyelesaian dan rawatannya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicari. 






Di pasaran terdapat berbagai-bagai jenis pelapik tapak kaki yang diperbuat daripada bahan plastazoate, pe-lite, EVA, polyurethane, silicone dan bermacam-macam lagi. Tujuannya tak lain tak bukan adalah bagi menyokong berat badan dan membantu mengagihkan tekanan ke bahagian tapak kaki. Dengan itu kesakitan dapat dikurangkan. Malangnya tidak ada satupun jenis pelapik ini yang benar-benar berkesan dan selesa untuk digunakan bagi kebanyakan orang. 

1. Pengalaman saya merawat pesakit

Pesakit pertama saya adalah seorang doktor, selaku ketua jabatan di bidang kesihatan awam. Beliau telah disahkan mengalami Plantar fasciitis pada kedua-dua belah tapak kaki dengan kesakitan yang teramat pada bahagian tumit. Beliau telah mengambil cuti dan datang ke bengkel ortotik saya dengan berkerusi roda yang ditolak oleh anak lelaki beliau. Sebelum ini beliau telah menggunakan Silicone insoles yang mahal tetapi kurang berkesan. Selepas mendapat rawatan 'Hydrostatic insoles' kini beliau telah pulih dan aktif sepenuhnya.


Pesakit kedua saya merupakan seorang surirumah sepenuh masa berusia 58 tahun dari Bukit Beruntung. Beliau dirujuk kepada saya kerana mengalami Heel spur pada bawah tulang tumit kedua-dua belah kaki. Beliau berjalan terhincut-hincut. Selepas memakai pelapik hidrostatik, beliau dapat berjalan dengan selesa tanpa merasa sakit. Beliau meminta saya membuat pelapik yang sama bagi suami dan anak perempuan beliau kerana kata beliau mereka juga mempunyai kesakitan tumit kaki yang sama.


Pesakit ketiga saya seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun berasal dari Putrajaya.  Beliau telah dirujuk kepada saya kerana mengalami kecacatan kaki dipanggil 'flat-foot' atau pes planus. Selepas menggunakan pelapik tapak kaki hidrostatik medial-arch supports beliau telah dapat berjalan dengan normal tanpa menunjukkan sebarang tanda -tanda kecacatan. Saya menyuruh beliau berjalan, tapi budak ini terus berlari dengan riangnya...   



2. Sebab Mengapa Pelapik Tapak Kaki Di Pasaran Tidak Sesuai
    
    -  Pembuatan pelapik dibuat di kilang tanpa mengikut 
       acuan dan bentuk tapak kaki pesakit
    -  Bahan yang digunakan tidak dapat menampung      
       tekanan berat badan dengan berkesan 
    -  Pengagihan bebanan dan tekanan tidak sama rata pada
       permukaan pelapik
    -  Wujudnya titik tekanan tinggi (peak pressure) 

3. Konsep Hidrostatik


Hidrostatik adalah konsep tekanan dan cara mana ianya dipindahkan oleh bendalir.  Konsep ini telah mula diperkenalkan oleh Blaise Pascal, seorang ahli matematik, ahli fizik dan ahli falsafah pada tahun 1647.




Bendalir seperti air, boleh mengenakan tekanan normal kepada sebarang permukaan yang bersentuhan dengannya. Mengikut prinsip keseimbangan, tekanan pada setiap sisi bekas air tertutup mestilah didalam unit yang setara dan bertindak dalam magnitud yang sama pada semua arah.



Tekanan didefinasikan sebagai daya yang dikenakan kepada kawasan ujian:
(P = F/A)
P = tekanan
F = daya normal
A = kawasan


Hidrostatik telah digunakan secara meluas didalam kehidupan kita seharian seperti di bidang kejuruteraan, geofizik, meteorologi dan perubatan. Alat mengukur tekanan darah tinggi adalah contoh kegunaan prinsip hidrostatik ini di bidang perubatan.


4. Konsep Hidrostatik di Bidang Prostetik 


Di bidang prostetik (Anggota tiruan), konsep hidrostatik telah lama digunakan di dalam menghasilkan soket transtibial yang terbaik dan selesa.  Soket jenis ini dipanggil "Hydrostatic socket". 





Gambar 1.  Proses pembuatan soket transtibial menggunakan silinder dan tekanan air bagi membentuk acuan hidrostatik.




Gambar 2. Perbezaan diantara soket transtibial konvensional (kiri) dengan soket hidrostatik (kanan). 



5. Biomekanik Pelapik Tapak kaki Konvensional dan       

    Hidrostatik 




Pelapik tapak kaki konvensional adalah berdasarkan kepada bentuk permukaan tapak kaki (Surface bearing). Pengagihan bebanan tidak seragam dan tidak sama rata. Ini boleh mewujudkan titik tekanan tinggi. 
Secara perbandingan, pelapik hidrostatik adalah berdasarkan kepada Prinsip Pascal. Bebanan adalah seragam dan sama rata. Ini dapat mengurangkan kejadian kawasan tekanan tinggi yangmana penyebab utama kesakitan dan ketidakselesaan. 

Sebenarnya, teknik pembuatan acuan lah yang menentukan jenis pelapik tapak kaki samada ianya bersifat konvensional atau hidrostatik. Bagi jenis konvensional, acuan plaster dibuat menggunakan kemahiran tangan atau menggunakan busa mampatan (compression foams) tanpa memberi tekanan pada kaki. Berbanding dengan teknik hidrostatik, tekanan air digunakan semasa pembuatan acuan negatif (cast).


6.  Pembuatan Pelapik Tapak Kaki Hidrostatik

Pelapik tapak kaki hidrostatik dibuat menggunakan teknik acuan yang hampir sama seperti kaedah pembuatan soket prostetik.  Proses pembuatan acuan plaster dan pembuatan pelapik tapak kaki ini akan saya terangkan secara mendalam di dalam kursus yang bakal saya adakan nanti.




Gambar 3.  Acuan tapak kaki hidrostatik ( plaster molds).  Modifikasi acuan sangat sedikit dilakukan


Pada pengamatan saya, bukan semua kes sesuai menggunakan perantara keras seperti polypropylene. Ada juga pesakit yang perlu dibuat pelapik daripada bahan yang lebih lembut seperti Pe-lite. Tujuannya adalah bagi mengurangkan rasa kesakitan.  




Gambar 4.  Pelapik Hidrostatik jenis 'keras' yang diperbuat 

daripada bahan Polypropylene Copolymer. Bentuk pelapik ini ditentukan oleh acuan tekanan hidrostatik.




Gambar 5.  Pelapik Hidrostatik amat sesuai dipakai pada kasut jenis Crocs atau kasut sukan yang bertali.





Gambar 6.  Pelapik hidrostatik sesuai ke pejabat dan ke mana saja dengan kasut jenis "Derby shoe" 



7. Kegunaan lain Pelapik Tapak Kaki Hidrostatik

Pelapik tapak kaki hidrostatik yang diperbuat daripada bahan yang lebih lembut seperti Pe-lite dan Lunairmed amat sesuai digunakan bagi kes berikut :


-  Pembuatan Diabetic insoles bagi pengagihan bebanan

   dan mencegah kejadian luka tekanan  
-  Kes Charcot foot deformity
-  Pembuatan Offloading insoles bagi merawat luka kronik
-  Pembuatan Arch supports bagi kes flat foot (pes planus)
-  Kecederaan telapak kaki (midfoot fracture)
-  Gangguan biomekanik - sakit lutut, pinggang
   dan tulang belakang 
-  Pelapik tapak kaki berprestasi tinggi untuk ahli sukan
   (Marathon running orthosis)

Sila lawati blog saya:  ortodiabetik.blogspot.com 




Kesimpulan dan Perbincangan

Tapak kaki adalah asas biomekanik tubuh badan kita. Ibarat cap jari seseorang, ianya tidak sama antara seorang dengan orang lain dan tidak boleh ditiru oleh sesiapa pun. Oleh itu pembuatan pelapik tapak kaki secara 'custom-made' adalah pilihan yang terbaik.


Air amat besar faedahnya kepada kita semua. Tiada air tiada kehidupan. Pelapik tapak kaki hidrostatik adalah contoh bagaimana tekanan air dimanfaatkan sepenuhnya didalam bidang rawatan tapak kaki. Pembuatan pelapik tapak kaki hidrostatik ini adalah sistem pengagihan tekanan secara semulajadi. Hidrostatik telah menjadikan tisu kaki lebih padat, kenyal dan konsisten dalam menampung berat badan, justeru itu ianya dapat mengurangkan dan merawat gejala kesakitan. Dipercayai pelapik tapak kaki hidrostatik ini juga mampu memperbaiki kerosakan struktur otot Plantar fascia dan memulihkan pergerakan mekanikal otot yang normal.


Oleh itu ianya adalah ciptaan yang pertama seumpamanya. Kajian lanjut masih diteruskan dan pandangan oleh rakan-rakan seperjuangan amatlah saya alu-alukan. 



Sebarang maklumbalas dan pertanyaan sila e-mail kepada saya 

Hashimchot@yahoo.com

Jika ada komen sila berkongsi pendapat anda di ruangan komen di bawah ini.  Sekian, Terima kasih.

     

Ganjaran Menyampaikan Ilmu 

Daripada Abu Umamah al-Bahili, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi ; hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia".